GUA MUSANG – Seorang pemuda berdepan detik cemas apabila terus berlari dengan berkaki ayam sejauh 100 meter selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor harimau belang yang tiba-tiba keluar dari kawasan hutan di Jalan Gua Musang-Jeli di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda C70 sedang dalam perjalanan ke Sungai Terah di sini untuk bermain badminton.
Muhammad Zulhilmi berkata, ketika itu, motosikal yang ditunggangnya sedang mendaki bukit dengan keadaan gelap di kiri dan kanan jalan.
Katanya, bagaimanapun, seekor harimau belang yang datang dari arah kanan jalan tiba-tiba keluar dan merempuh bahagian tayar hadapan motosikalnya.
“Saya amat terkejut dan kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Saya sempat melihat kelibat harimau belang itu yang setinggi paras pinggang lelaki dewasa.
“Saya tidak memikirkan kesakitan pada muka, badan dan kaki selepas terjatuh di atas jalan. Saya terus bangun dan berlari sejauh 100 meter untuk mendapatkan pertolongan daripada pengguna jalan raya lain dengan menyalakan lampu telefon bimbit,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Lembaga di sini hari ini.
Muhammad Zulhilmi memberitahu, dia bersyukur apabila seorang pemandu wanita memberhentikan kenderaan dan membawanya ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan pada bahagian atas kening kanan, lutut dan kaki kiri.
“Alhamdulillah, saya selamat. Kejadian yang berlaku itu sangat menakutkan kerana khuatir haiwan itu menyerang saya selepas terjatuh dari motor.
“Saya tidak pasti sama ada harimau itu sememangnya bertindak untuk menyerang saya atau sekadar melintas jalan kerana suasana di laluan terbabit sangat gelap dan berhampiran kawasan hutan,” katanya.
Tambahnya, dia masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku kerana pergerakannya masih terbatas selepas menerima rawatan.
Katanya, anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah mengambil kesan bulu harimau yang melekat pada tayar motosikalnya untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah ke lokasi kejadian dan masih menyiasat kejadian yang berlaku.
Katanya, kesan bulu yang ada pada motosikal mangsa sudah dihantar ke makmal untuk pengedahan haiwan terbabit adalah harimau belang seperti yang didakwa mangsa. – KOSMO! ONLINE