fbpx

Masyarakat Madani tekan tata kelola berkesan, kukuh integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Gunawan.

PUTRAJAYA – Masyarakat Madani amat menekankan berkenaan tata kelola berkesan, pengukuhan integriti dan kawalan dalaman terhadap korupsi.

Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Gunawan Che Ab Aziz berkata, untuk menjadi sebuah negara yang Madani, pengukuhan ekosistem tata kelola baik dan berkesan sangat diperlukan.

“Sejarah dunia telah menunjukkan bahawa sebuah empayar besar yang berusia ratusan tahun sekalipun, akan berakhir dengan keruntuhan jika pentadbirannya tidak dilaksanakan berasaskan tata kelola yang baik,” katanya di sini.

Beliau mengambil contoh, Ahli Ulama dan Ahli Fikir Islam, Syah Waliyullah ad-Dehlawi (1762M) turut menyentuh berkenaan kemajuan peradaban atau ‘Masyarakat Madani’ antara gagasan masyhur beliau berkenaan konsep ‘al-Irtifaqat’.

“Menurut beliau terdapat empat tahap Irtifaqat bagi perkembangan sesebuah masyarakat Madani iaitu kehidupan masyarakat primitif yang hanya berorientasi memenuhi keperluan dasar, manusia mula meningkat pemikirannya dan mula memikirkan bagaimana mendapatkan kehidupan lebih munasabah.

“Selain itu, taraf kehidupan kota dan bagaimana manusia mencapai puncak peradaban,” jelasnya.

Tambahnya, masyarakat Madani bagi Syah Waliyullah ialah hasil daripada proses melalui pengalaman peningkatan empat tahap Irtifaqat sesebuah masyarakat bagi terhasilnya Iqtirabat.

Menurutnya, Syah Waliyullah turut menyenaraikan lima institusi yang perlu ada bagi mengelola pentadbiran masyarakat di tahap Irtifaqat ketiga iaitu badan kehakiman, eksekutif, polis dan tentera, kebajikan dan kerja awam serta hal ehwal agama dan moral.

“Ia bertujuan supaya kemajuan negara kota atau masyarakat Madani ini dapat diteruskan dan pemantauan ke atas isu rasuah, penyalahgunaan, kekacauan dan kerosakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI