ALOR SETAR – Taktik licik empat pemandu treler warga Thailand mengubah suai tangki minyak bagi menyeludup diesel dari Malaysia ke negara mereka berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada minggu lalu.
Dalam operasi Ops Gegar antara pukul 8 hingga 8.30 malam, 7 November lalu itu, sebanyak empat treler dengan nombor pendaftaran Thailand ditahan di hadapan pintu masuk premis bebas cukai, The Zon di Bukit Kayu Hitam.
Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd. Latiff berkata, kesemua kenderaan berat tersebut dalam perjalanan menuju ke Thailand dengan tiga daripadanya tidak membawa kontena manakala sebuah lagi membawa kontena berisi kertas gulung.
“Pemeriksaan mendapati tangki minyak keempat-empat treler itu telah diubah suai dan terdapat ruangan khas yang dipercayai telah diisi diesel.
“Treler-treler tersebut dipercayai akan berulang-alik ke negara ini bagi mendapatkan diesel dari gudang yang berada di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam untuk diseludup ke Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Alor Setar, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE