PETALING JAYA – Cubaan sebuah kereta jenis Honda Civic FD untuk menyelit dan memotong kenderaan lain di lebuh raya berdekatan Shah Alam, Selangor gagal apabila terbabas ke tepi jalan.
Menerusi video kamera papan pemuka kenderaan lain yang dimuat naik di akaun @HezeriSamsuri, kejadian tersebut berlaku pada Ahad lalu, kira-kira pukul 5.52 petang.
Di dalam video berkenaan, pada mulanya kenderaan tersebut meluncur laju dan cuba untuk memotong dari lorong tengah ke lorong paling kanan di lebuh raya berkenaan.
Walau bagaimanapun, terdapat sebuah lagi kenderaan ingin memasuki lorong yang sama membuatkan pemandu Honda Civic FD cuba untuk mengelak sebelum terbabas ke benteng bukit tepi lebuh raya.
Akibat pelanggaran itu, kereta Honda Civic FD itu berpusing beberapa kali sebelum pemandu kenderaan terbabit yang memakai baju berwarna putih tercampak keluar ke tepi jalan.
Difahamkan ketika kejadian, kenderaan tersebut turut dinaiki oleh isteri dan anaknya.
Menerusi ruangan komen, pemandu tersebut, isteri dan anaknya terselamat dan hanya mengalami cedera ringan sahaja.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat 534,000 tontonan, 2,000 ulang ciap dan 2,700 tanda suka.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan pemandu tersebut yang membawa laju tanpa memikirkan keselamatan pemandu lain serta anak dan isterinya.
“Kau nak pergi mana laju-laju? Nyawa kau satu je. Sayanglah nyawa kau tu. Kalau tak sayang nyawa kau, fikir nyawa orang lain juga,” komen Fatin.
“Mungkin dia tak pakai tali pinggang juga, sebab itu boleh terpelanting keluar,” komen Abam Kamal.
“Kereta dia sendiri lah yang terpelanting ni? Alhamdulillah nasib baik tak kena orang lain. Elok lah tu, bagi sekali sekala rasa terpelanting,” komen seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE