GEORGE TOWN – Setiap individu Muslim malah orang bukan Islam atas nama kemanusiaan disarankan untuk membantu perjuangan rakyat Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, sesiapa yang ingin membantu dalam bentuk kewangan boleh menyalurkan bantuan itu menerusi akaun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang bertanggungjawab.
“Setiap umat Islam wajib menyokong serta membantu rakyat Palestin dalam perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Zionis Israel.
“Selain itu, setiap individu Muslim malah juga orang bukan Islam, atas nama kemanusiaan, mestilah membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bantuan juga boleh dibuat dengan cara memboikot produk syarikat-syarikat yang terbukti memberi sumbangan kepada negara haram tersebut.
“Namun tindakan ini hendaklah dilakukan dengan hati-hati supaya tidak menganiayai syarikat yang tidak menyumbang kepada tujuan tersebut seperti restoran McDonald’s Malaysia misalnya.
“Ini kerana pengurusan rangkaian restoran berkenaan telah berkali-kali menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menyumbang kepada negara Israel,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) baru-baru ini telah menggesa operasi ketenteraan Israel di semenanjung Gaza dihentikan malah persidangan itu juga menuntut jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
“Kita bersetuju dengan tuntutan tersebut. Namun kita juga ingin mengingatkan kerajaan Malaysia, pemimpin-pemimpin umat Islam dan pihak-pihak lain, bahawa Israel tidak pernah mengenal bahasa rundingan atau diplomasi.
”Negara itu juga tidak pernah menghiraukan keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), justeru terpaksalah kekerasan digunakan kerana hanya dengan mengguna bahasa senjata sahajalah yang boleh memaksa Israel berundur dari kawasan-kawasan yang ditaklukinya dalam peperangan bulan Jun 1967,” katanya.
Tambahnya, negara-negara Islam juga negara bukan Islam yang bersimpati dengan rakyat Palestin mesti membekalkan kelengkapan tentera untuk kumpulan Hamas di Gaza dan untuk rakyat Palestin seluruhnya.
“Ini sebagai menyahut seruan al-Qur’an supaya disediakan untuk para mujahidin kekuatan ketenteraan semaksimum yang termampu untuk menimbulkan kegerunan di hati pihak musuh,” katanya. -KOSMO! ONLINE