PETALING JAYA – Baru-baru ini tular di media sosial tentang seorang pempengaruh yang meluahkan rasa kesalnya apabila kemenangannya di Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2023 dibatalkan.
Pempengaruh tersebut yang lebih dikenali sebagai Zhiddin Aziz mendakwa dia menerima panggilan kurang daripada 24 jam daripada pihak penganjur yang memaklumkan pembatalan penerimaan anugerah itu.
Ujar anak kepada personaliti televisyen terkenal, Allahyarham Aziz Desa, majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.
Susulan itu, semalam, Adam Adli menerusi ciapan di aplikasi X, mengumumkan bahawa satu pertemuan bersama Zhiddin Aziz akan dibuat untuk merungkai persoalan yang timbul.
Katanya, Zhiddin sememangnya mempunyai potensi yang baik sebagai contoh buat golongan belia dan banyak ruang yang tersedia buat pempengaruh itu.
“Kami faham perasaan dan mungkin ketidakpuasan hati Zhiddin berkait isu tempoh hari. Beliau bebas untuk luahkan perasaan menerusi medium pilihannya.
“Zhiddin ada potensi yang baik sebagai contoh buat golongan belia. Banyak ruang yang tersedia buat beliau; malah beliau sendiri berhasil cipta ruang sendiri.
“Memandangkan terlalu banyak perkara yang berbentuk spekulasi timbul sehingga mengheret banyak pihak, saya kira adalah baik agar pertemuan diadakan untuk rungkai isu ini secara baik,” ciap Adam Adli
Tambahnya, pihaknya juga sudah meminta pejabat untuk menghubungi Zhiddin segera untuk aturkan pertemuan dalam minggu akan datang ini.
Terdahulu, Zhiddin Aziz memuat naik luahannya di akaun TikTok sehingga mendapat lebih 2.2 juta tontonan.
Luah Zhiddin Aziz, maruahnya tercalar apabila tidak menerima sebarang anugerah walaupun pihak penganjur telah menghantar e-mel jemputan dan meminta gambar resolusi tinggi.
Katanya, dia sudah membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli satu set baju melayu bagi menghadiri majlis anugerah tersebut. – KOSMO! ONLINE