Terlibat dengan bidang dandanan kucing sejak remaja, siapa sangka kecintaan Anas Mursyidi Abu Mansor, 35, terhadap kucing akhirnya ‘dijelmakan’ menerusi sebuah pusat dandanan kucing dan hotel yang diberi nama Kaka Cat House di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Bukan sekadar itu, suatu yang menarik tentang Anas Mursyidi sehingga pernah menjadi tular ialah kemampuannya menjinakkan kucing-kucing garang atau agresif. Tidak hairanlah ada netizen yang memberikannya gelaran Cat Whisperer atau ‘penjinak kucing’ atau orang yang sangat memahami perangai kucing.
Kebolehan mengawal tingkah laku si ‘bulus’ yang agresif itu nyata mendapat perhatian ramai sehingga ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Lembah Klang, Perak dan selatan tanah air untuk mendapatkan khidmatnya itu.
Terdapat beberapa video di TikTok yang menunjukkan dirinya berjaya ‘menundukkan’ kucing-kucing garang yang dibawa oleh tuan-tuan kucing dari pelbagai negeri. Ada antara video tersebut mencecah jutaan tontonan.
Dapat ditonton, kucing-kucing pelbagai rupa yang asalnya bertindak begitu agresif dengan cuba menyerang, memberontak, mencakar dan menggigit bila mahu memegangnya tidak lama kemudian bertukar diam dan tenang dalam dakapannya.
Adakalanya Anas Mursyidi turut melayani usikan netizen yang menuduhnya memiliki ‘ilmu penunduk kucing’ dan ‘memakai jampi’.
“Bila kucing dah start mengerdip mata, bermakna ia dah percayakan kita,” katanya dalam satu video sambil memegang seekor kucing hitam yang asalnya berkelakuan ganas.
Mengenai kemampuannya menjinakkan kucing, Anas Mursyidi memberitahu K2, dia sememangnya pernah obses untuk mengkaji sikap, tingkah laku dan psikologi kucing kira-kira tujuh atau lapan tahun yang lalu.
Jelas Anas Mursyidi yang juga kini sohor kerana kerap berkongsi tip penjagaan kucing di TikTok sehingga memiliki lebih 250,000 pengikut, bukan mudah untuk menjinakkan seekor kucing yang agresif.
Ujar Anas Mursyidi, dia sendiri pernah cedera akibat dicakar oleh haiwan itu sehingga jarinya berjahit pada peringkat awal dahulu.
Kongsi Anas Mursyidi, antara teknik yang boleh digunakan untuk menjinakkan kucing yang garang termasuk sentiasa berada di belakang haiwan itu ketika ia agresif, selain melakukan kerdipan mata dan menguap serta berbisik ke telinganya.
Kata Anas Mursyidi, semua kaedah itu penting bagi mengelakkan haiwan berkenaan tidak menjadi terlalu dominan selain menjadikan ia tidak menganggap manusia sebagai ancaman.
Disebabkan oleh kemahiran menjinakkan kucing itu juga menyebabkan Anas turut menerima kucing-kucing ganas bagi khidmat dandanan atau penginapan kucing yang ditawarkannya.
“Berbanding pusat ‘grooming’ kucing yang lain, kita tidak memilih dan akan menerima hampir semua jenis kucing termasuk yang dikategorikan agresif,” katanya.
Artikel ini merupakan artikel rencana. Untuk membaca penuh sila baca di https://www.kosmo.com.my/2023/11/14/anas-penjinak-si-bulus-agresif/