PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali bersedia untuk bertanding dan menyanyikan sendiri lagu Peluang Kedua pada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) selepas episod ketiga ditunda Ahad lalu.
Bagaimanapun, Nabila melalui pengurusnya, Mohd. Asrul Abdul Talib berkata, semuanya bergantung kepada tahap kesihatan penyanyi itu.
“Kita akan melihat keadaan kesihatannya pada masa itu. Jika pulih sepenuhnya, besar kemungkinan Nabila sendiri akan buat persembahan.
“Sejak awal lagi, dia mahu menyanyikan sendiri lagu berkenaan, tapi masalah kesihatannya yang agak serius membuatkan pengurusan ambil keputusan supaya dia menarik diri,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Ditanya bagaimana keadaan Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd. Razali, 28, ketika ini, Asrul berkata, penyany itu masih dalam proses untuk pulih.
“Nabila tarik diri bukan suka-suka. Dia mendapat saranan daripada guru vokal seperti Datuk Syafinaz Selamat dan juga doktor pakar agar menarik diri daripada bertanding.
“Nabila masih mengalami masalah nodules iaitu sejenis penyakit berkaitan pita suara. Sekarang masih ada bengkak pada bahagian tekak namun beransur pulih,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nabila menarik diri dari SFMM35 yang sepatutnya berlangsung Ahad lalu atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun, episod ketiga pertandingan SFMM35 ditunda gara-gara penyanyi Alif Satar yang bertanding pada Jumaat lalu disahkan positif Covid-19.
Penundaan tersebut sekali gus menarik perhatian peminat yang rata-ratanya berharap agar Nabila sempat sembuh dan berpeluang menyanyikan sendiri lagu ciptaan Ezra Kong dan MFMF itu. – K! ONLINE