Bagi musim ini, antara trend yang popular di pentas peragaan antarabangsa adalah reka corak jalur klasik sama ada melintang, menegak atau serong dalam pelbagai warna, saiz pilihan fabrik.
Trend jalur untuk musim ini didatangkan dalam variasi dan interpretasi gaya yang paling ceria, berani dan menarik.
Paling menyerlah adalah jalur dalam rona paling terang dan jalur dalam fabrik berkait (knit) seperti ribbed tops, skirt dan juga gaun dalam jalur warna pelangi (dengan padanan aksesori dan kasut tinggi rona metalik) atau untuk gaya yang lebih bersahaja dan santai padankan dengan distressed denim dan flat mules.
Ia melambangkan idea penggayaan yang tidak terbatas mengikut cita rasa anda sendiri. Di sini, diberikan panduan menggayakan reka corak jalur sealiran trend.
Pelbagai dimensi
Jangan takut untuk bereksperimentasi. Reka corak jalur klasik tidak semestinya perlu kelihatan hambar dan biasa.
Cuba beranikan diri pilih pelbagai dimensi, saiz, warna dan arah jalur untuk dapatkan gaya paling menyerlah bagi diri anda.
Aksesori
Selalunya top jalur seperti kemeja, blaus dan kemeja-T menjadi pilihan bagi menggayakan trend ini.
Namun, untuk musim ini, apa kata anda cuba reka corak jalur dalam padanan seperti blazer, sweater, seluar, skirt atau gaun.
Dapatkan juga aksesori seperti beg clutch, skaf dan kasut tumit tinggi dengan elemen jalur. Gunakan imaginasi, untuk mempelbagaikan gaya.
Lengan baju
Bagi yang gemarkan gaya subtle atau understated, tetapi masih mahu mencuba trend jalur, cuba gayakan hanya sedikit sentuhan jalur seperti di lengan baju atau di hujung kain.
Kedudukan jalur yang betul serta menarik dapat menceriakan personaliti seseorang itu.
Reka corak kontras
Jalur juga mudah serta menarik digayakan dengan reka corak kontras yang lain. Konsep mix & match, kombinasi jalur dengan reka corak lain dalam variasi tekstur dapat menjadikan penampilan lebih cool dan urban. Namun begitu, pilih hanya satu corak bagi mendominasi gaya keseluruhan. Pastikan anda memilih koordinasi warna yang tepat dan reka corak dalam skala atau saiz yang pelbagai, untuk mendapatkan kadar banding yang terbaik bagi potongan badan anda.
Lapisan pakaian
Jalur antara reka corak yang paling senang untuk kita suai padan dengan apa sahaja. Ia juga boleh memberi dimensi serta karakter pada penampilan keseluruhan.
Hanya dengan tambahan lapisan pakaian dengan corak jalur yang ringkas, dapat menyuntik elemen segar pada padanan pakaian yang kita gayakan.
Ceria
Suntik warna ceria dalam reka corak jalur sebagai alternatif yang mudah bagi jalur monokromatik yang ada dalam almari anda.
Cuba gayakan warna biru dan merah terang yang dipadankan dengan putih atau cuba eksprementasi dengan variasi rona terang seperti jalur lebar dalam rona kontras warna pelangi untuk mendapatkan penampilan yang lebih edgy.
Ilusi
Pastikan anda memilih rekaan fesyen jalur yang sesuai personaliti dan bentuk badan.
Secara psikologi, jalur serong membuatkan diri lebih menarik berbanding jalur melintang. Jalur halus pada skirt atau seluar dapat memberikan ilusi ketinggian yang lebih daripada realiti sebenar.
Apapun cuba bereksperimentasi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian.