WASHINGTON – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tenteranya akan dapat menewaskan Hamas yang beroperasi dari luar Gaza lebih pantas berbanding Amerika Syarikat (AS) menumpaskan rangkaian al-Qeada dan Daesh, lapor portal berita MailOnline semalam.
“Saya tidak fikir ia akan mengambil masa lebih lama berbanding yang pernah diambil oleh AS dan gabungan antarabangsanya untuk mengalahkan Daesh atau al-Qaeda. Mereka mengambil masa bertahun-tahun.
“Saya tidak fikir operasi terhadap Hamas akan berlarutan hingga bertahun-tahun,” kata Netanyahu kepada hos saluran berita NBC News, Kristen Welker semalam dalam program Meet The Press bagi membincangkan perang Israel dan Hamas.
Netanyahu juga mendakwa bahawa terdapat rundingan untuk membebaskan lebih banyak tebusan Israel dari Semenanjung Gaza yang ditadbir oleh kumpulan pejuang Palestin itu.
Dalam wawancara sama, Netanyahu memberitahu, dia telah menetapkan sasaran untuk menewaskan Hamas tetapi mendakwa tidak mempunyai tarikh akhir tertentu dalam fikirannya untuk berbuat demikian.
Ditanya dalam temu bual berasingan di saluran berita CNN tentang sama ada dia mengambil tanggungjawab berikutan kegagalan keselamatan sehingga membawa kepada serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, Netanyahu berkata, soalan sukar itu akan dijawab selepas perang berakhir.
“Kami akan menjawab semua soalan ini. Sekarang ini, saya rasa apa yang perlu kita lakukan ialah menyatukan Israel untuk satu tujuan (iaitu) untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada hos CNN, Dana Bash. – AGENSI