LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menganggap keputusan seri 4-4 menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam adil untuk kedua-dua pasukan.
Pada perlawanan itu, City menjaringkan gol menerusi dua jaringan Erling Haaland serta masing-masing satu gol Manuel Akanji dan Rodri, manakala gol Chelsea dijaringkan Thiago Silva, Raheem Sterling, Nicolas Jackson dan Cole Palmer.
Walaupun mengakui keputusan itu adil untuk kedua-dua pasukan, namun Guardiola percaya mereka sepatutnya memanfaatkan beberapa peluang terbaik bagi menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan tersebut.
“Sebenarnya keputusan sepatutnya lebih baik untuk kami dan mungkin boleh jadi buruk. Bagaimanapun, inilah bola sepak dan boleh jadi sesuatu yang sangat baik untuk saingan Liga Perdana.
“Chelsea bermula sangat baik pada perlawanan hari ini (semalam) dan cuba melakukan sesuatu dengan pemain-pemain baharu yang cukup ramai. Secara jujur, ia satu perlawanan yang sengit,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menerima keputusan pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti kepada Chelsea pada penghujung permainan yang menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
“Kami sepatutnya bertahan lebih baik ketika waktu kecederaan. Saya tidak mahu mempersoalkan sepakan penalti itu kerana ia sudah diberikan. Kedua-dua pasukan masing-masing mencipta peluang pada perlawanan hari ini (semalam),” ujar Guardiola. – AGENSI