LONDON – Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino percaya pasukan itu mampu bersaing dengan pasukan terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mencatat keputusan seri 4-4 menentang Manchester City awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Chelsea menampilkan aksi cukup berbeza apabila berjaya meledak empat gol menerusi jaringan Thiago Silva, Raheem Sterling, Nicolas Jackson dan Cole Palmer.
Sementara itu, empat gol City pula hadir menerusi dua jaringan penyerang berbisa, Erling Haaland serta masing-masing satu gol sumbangan pemain pertahanan, Manuel Akanji dan pemain tengah, Rodri.
“Saya sangat bangga dan gembira dengan keputusan pada hari ini (semalam). Semua pemain layak diberikan pujian kerana mereka bermain cukup baik, lebih-lebih lagi bertemu pasukan terbaik di dunia.
“Banyak perkara yang berlaku pada perlawanan tersebut dan inilah yang saya mahu lihat sepanjang proses. Selepas ini kami perlu terjemahkan aksi sebegini dalam perlawanan akan datang,” kata Pochettino.
Bekas pengendali Tottenham Hotspur itu juga percaya keputusan tersebut memberi lebih kepercayaan kepada barisan pemain mudanya untuk merealisasikan hasrat mereka menjadi salah sebuah pasukan sempurna pada masa hadapan.
“Permainan seperti ini sebenarnya memberi kepercayaan serta keyakinan kepada semua pemain. Bagaimanapun, perjalanan kami masih jauh tetapi inilah proses yang perlu diharungi,” ujarnya. – AGENSI