PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa kerana tidak lagi dipilih oleh rakyat Langkawi setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022.
Jelasnya, beliau berasa sedih kerana jasanya dalam membangunkan Langkawi seolah-olah tidak dihargai oleh penduduk di kawasan tersebut.
“Saya buat macam-macam untuk orang Langkawi. Jadikan (Pulau Langkawi) pulau bebas cukai. Pada waktu pandemik, saya beri makanan.
“Ketika dilanda tsunami, kita tolong, bina balik rumah. Macam-macam kita buat untuk orang Langkawi. Tetapi, bila datang pilihan raya, mereka tidak undi saya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ kendalian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan yang disiarkan hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan kekalahannya di kerusi Langkawi pada ketika itu adalah disebabkan sikap rakyat yang lebih gemar menerima bantuan dalam bentuk wang ringgit.
“Saya tanya, kenapa tidak undi saya. Kata mereka, kerana saya tidak beri duit. Itu jawapan mereka.
“Saya tanya lagi, berapa duit dapat, dia jawab RM100. Saya tanya, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari,” katanya.
Ulas Dr. Mahathir, sikap beginilah yang membuatkannya kecewa sebagai seorang pemimpin.
“Orang Melayu zaman sekarang, lebih pentingkan dapat RM100, berbanding segala khidmat yang kita pernah berikan kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, Dr. Mahathir gagal mempertahankan kerusinya dalam persaingan lima penjuru di Parlimen Langkawi dengan majoriti 13,518.
Beliau turut kehilangan deposit apabila hanya meraih 4,566 undi pada PRU-15, tahun lepas. – KOSMO! ONLINE.