fbpx

Kongsi gambar AI tanpa purdah bukan dosa – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEELOFA

KUALA LUMPUR – Selebriti Neelofa bertegas perkongsian fotonya tanpa berniqab dalam versi teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan satu dosa.

Menurut Neelofa, tindakan menggunakan wajah sendiri tanpa niqab dalam bentuk AI juga merupakan satu keputusannya sendiri bagi tujuan promosi produk semata-mata.

“AI itu bukan saya walaupun macam saya. Saya baca komen netizen mengenai pelbagai pendapat tetapi ingin saya katakan itu bukan saya.

“Bukan saya buat dosa seperti buka hijab atau dedahkan aurat. Cuma AI dibuat oleh pasukan saya yang dipersetujui saya sendiri.

“Malah, AI dibuat untuk kempen jenama tudung baharu. Pada awalnya pasukan saya buat gambar orang lain tetapi saya sendiri meminta mereka gunakan wajah saya,” katanya yang ditemui Kosmo! Online baru-baru ini.

Tidak melupakan tanggungjawab sebagai isteri, pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor itu memaklumkan sudah meminta pandangan suaminya yang juga pendakwah bebas PU Riz.

“Sudah semestinya saya minta pandangan suami sejak tahap awal proses AI.

“Saya kerap kongsikan dan tunjuk kepada Haris. Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa AI adalah tujuan berkempen bukanlah untuk dedahkan aurat.

“Lagipun, bukan satu dosa pun saya buat AI,” ujar bekas pengacara MeleTop itu.

Disoal tentang perbuatannya yang seolah-olah ‘bunga-bunga’ untuk menanggalkan purdah, pemenang Dewi Remaja 2009/10 itu memohon doa ramai untuknya mengekalkan imej berniqab.

“Astaghfirullah. Doakan saya. Meskipun suami menyokong perjalanan saya berpurdah, tetapi saya sangat gembira dengan diri saya hari ini.

“Insya-Allah, semoga Allah bagi kekuatan untuk saya kekal begini dengan imej yang saya bawa.

“Dengan apa yang saya bawa hari ini, dapat saya buat banyak kebaikan sama ada secara peribadi sebagai anak dan juga ibu,” jelasnya lagi.

Pada Oktober lalu, Neelofa memuat naik foto dirinya tanpa mengenakan purdah dalam Instagram dalam versi AI.

Tindakan tersebut sekali gus meleraikan rindu peminat yang sudah lama tidak menatap wajah usahawan jelita itu.

Namun begitu, ada juga segelintir peminat yang kurang senang dengan tindakan ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkongsi gambar dalam keadaan tidak berpurdah walaupun dalam versi AI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI