PETALING JAYA – “Saya sudah janji, dan saya akan tunaikan janji,”
Begitulah kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila ditanya mengenai janjinya untuk memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.
“Apabila saya bersama dengan DAP, Amanah dan Keadilan, mereka pilih saya untuk jadi calon Perdana Menteri.
“Tetapi mereka juga tentukan, saya menjadi Perdana Menteri untuk memberi peluang kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, dan saya terima itu,” ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ kendalian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan yang disiarkan hari ini.
Bagaimanapun, menurut Dr. Mahathir, niatnya itu tidak dapat dilunaskan kerana berlakunya Langkah Sheraton yang berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.
“Disebabkan Langkah Sheraton, parti kerajaan iaitu PH sudah hilang kedudukan.
“Kalau saya bagi (jawatan) pada Anwar pun, dia tidak boleh jadi sebab parti sudah kalah,” ulasnya.
Apabila ditanya mengenai tempoh masa pemberian jawatan tersebut,Dr. Mahathir berkata, beliau tidak dapat melakukan apa-apa kerana partinya pada waktu itu sudah hilang majoriti.
“Saya hendak beri pada Anwar tetapi sebelum saya dapat memberi, parti saya tolak saya.
“Apabila parti tidak yakin dengan saya, tindakan saya, saya kena letak jawatan. Tapi pada waktu itu juga saya dapati PH akan kalah kerana Azmin bersama dengan Bersatu akan menjatuhkan PH.
“Kalau saya angkat Anwar jadi Perdana Menteri, dia tidak akan jadi,” katanya.
Podcast Keluar Sekejap yang disiarkan melalui saluran Youtube dan Spotify kini memiliki sebanyak 200,000 pengikut dengan 64 episod yang dimuat naik sejak awal tahun ini.
Antara episod yang menjadi sebutan adalah episod 34 bersama Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan 1.5 juta tontonan dan episod 61 bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan 1.7 juta tontonan. – KOSMO! ONLINE.