fbpx

Isu nama: Zaid Ibrahim fail saman firma guaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd. Zaid Ibrahim memfailkan saman terhadap firma guaman Zaid Ibrahim & Co bagi menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman.

Mohd. Zaid selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Suflan T H Liew & Partners melalui e-review di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Zaid Ibrahim & Co sebagai defendan tunggal.

Menerusi semakan mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 23 Disember ini di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Zaid. berkata beliau telah menubuhkan firma guaman milik persendirian atas namanya sendiri pada 1987 yang kemudiannya memasukkan rakan-rakan kongsi bergaji ke dalam firma tersebut.

Antara rakan kongsi itu ialah Chew Seng Kok dan Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani.

Menurutnya sepanjang amalan guamannya, beliau memperoleh nama baik di dalam firma berkenaan khususnya bagi mendapatkan keanggotaan panel bersama dengan institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sehinggalah beliau meninggalkan firma itu selepas dilantik sebagai menteri pada 2008.

Mohd. Zaid berkata selepas meninggalkan firma, rakan kongsi yang lain kemudian telah mengambil alih dengan Seng Kok memegang jawatan Rakan Kongsi Pengurusan dan Nik Norzrul Thani sebagai Pengerusi Rakan Kongsi.

Plaintif berkata beliau pada setiap masa material mengekalkan nama baik yang besar dalam profesion dan amalan guaman, berniat untuk kembali mengamalkan amalan guaman pada tahun 2018.

Justeru, Mohd. Zaid meminta Seng Kok dan Nik Norzrul menghentikan penggunaan nama beliau dan mengembalikan nama amalam guaman itu kepadanya kerana hendak membangunkan amalan guaman sendiri.

Kata Mohd. Zaid bagaimanapun berikutan defendan enggan berbuat demikian, beliau melalui peguamnya telah mengemukakan tuntutan melalui surat bertarikh 24 September lalu supaya berhenti menggunakan namanya.

Pada 5 Oktober lalu, defendan membuat tawaran kepadanya supaya beliau menyertai semula amalan guaman di Zaid Ibrahim & Co sebagai rakan kongsi ekuiti dan Pengerusi bermula 1 November lalu.

Mohd. Zaid berkata beliau kemudian secara tiba-tiba telah ditamatkan daripada firma guaman  pada 9 November lalu melalui satu notis sekaligus plaintif bukan lagi rakan kongsi atau ahli firma tersebut.

Dakwa plaintif, dengan penamatannya, perkongsian itu telah dibubarkan dan defendan meneruskan amalannya sebagai firma baharu yang dibentuk tanpa plaintif.

Namun dalam keadaan itu, defendan tidak berhak dari segi undang-undang untuk menggunakan nama plaintif sebagai nama amalannya yang baharu dibentuk.

Oleh itu, plaintif menuntut satu injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya daripada menggunakan namanya, Zaid Ibrahim di dalam apa-apa bentuk dan gaya sebagai nama firmanya berkaitan dengan amalan guaman atau pembekal khidmat guaman. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI