PUTRAJAYA – Kerajaan sudah meluluskan pinjaman sebanyak RM1.03 bilion kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi Pembiayaan PKS Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 13 November lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pinjaman yang diluluskan itu membabitkan 4,937 permohonan daripada PKS tempatan.
“Menerusi Pembiayaan PKS Penjana, kerajaan menyediakan dana berjumlah RM2 bilion dan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini,” katanya dalam kenyataan akhbar selepas membentangkan Laporan Laksana ke-30, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana pula, 208 permohonan diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM41.8 juta setakat 13 November lalu.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion menerusi pembiayaan itu bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan dalam sektor pelancongan yang terkesan dengan Covid-19.
Menurutnya, setakat 13 November lalu, sebanyak 478 PKS telah menyerahkan permohonan mereka.
“Kadar pembiayaan sebanyak 3.5 peratus dikenakan bagi pembiayaan itu dan ia dapat membantu usahawan pelancongan dari segi modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga tujuh tahun sepanjang tempoh pembiayaan,” katanya.
Sementara itu, katanya, Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN dan TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) khas untuk PKS mikro juga sudah memberi manfaat kepada 13,042 PKS mikro dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM86.7 juta, setakat 13 November lalu.
“Bagi pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) pula, sebanyak RN86.7 juta sudah disalurkan kepada seramai 5,570 PKS mikro dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kebelakangan ini, banyak tohmahan dan kritikan dilemparkan terhadap keprihatinan kerajaan membela nasib rakyat lebih-lebih lagi menjelang kelulusan Dewan Rakyat mengenai Belanjawan 2021 pada 26 November ini.
Menurutnya, beliau mahu rakyat sendiri menilai komitmen kerajaan yang terserlah melalui empat pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan dalam hanya lapan bulan ini.
“Ia (pakej rangsangan) memanfaatkan berjuta keluarga, rakyat dan beratus ribu perniagaan samada yang menerima manfaat secara langsung dan tidak langsung.
“Percayalah, nasib rakyat akan terus dibela oleh kerajaan ini lebih-lebih lagi dalam usaha membina momentum pemulihan ekonomi,” katanya. – K! ONLINE