SEBERANG PERAI – “Adik saya bakal bertunang pada 17 Disember ini, namun tidak membuat persiapan awal kerana bimbang ia akan menjadi kenangan.”
Itu luahan Nur Imanina Nasuha Nasua, 24, kakak kepada Muhammad Nabil Zikry, 23, yang maut selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah kereta di Kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala arah Perai, Bukit Mertajam, awal pagi kelmarin.
Seorang gadis dikenali sebagai Sabrina yang menaiki motosikal sama turut maut dalam insiden berkenaan.
Katanya, biarpun majlis pertunangan dijadual pada Disember nanti, namun Sabrina sudah ‘dirisik’ keluarganya.
“Saya sempat bertanya kepada Nabil kenapa tidak mempersiapkan apa-apa lagi untuk majlis bertunang, namun Nabil menjawab dia takut majlis itu nanti tinggal kenangan,” katanya di sini semalam.
Jenazah Muhammad Nabil Zikry selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, di sini semalam.
Dalam pada itu, Nur Imanina mengharapkan siasatan dilakukan secara telus terhadap pemandu kereta tersebut, sehingga menyebabkan mereka kehilangan insan tersayang.
Menurutnya, pemandu tersebut diharap dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran atas tindakan yang dilakukannya sekiranya dia didapati bersalah kelak.
“Nyawa adik saya tidak boleh dikembalikan lagi.
“Kami sekeluarga termasuk pihak perempuan semestinya mahukan keadilan atas apa yang terjadi.
“Kalau boleh, biarkan pemandu tersebut ditahan lebih lama lagi, tidak cukup hanya sehari.
“Kami juga mempersoalkan bagaimana dia boleh memandu kereta dalam usia sebegitu dan kenapa tidak dipantau keluarganya,” katanya.
Kelmarin, seorang pemuda dan bakal tunangannya maut di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai akibat kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu remaja berusia 16 tahun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kereta yang dipandu remaja tempatan terbabit dari arah pulau menuju ke Perai disyaki telah melanggar belakang sebuah lori.
Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta terbabit hilang kawalan dan merempuh motosikal yang dinaiki Nabil dan Sabrina.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pemandu terbabit telahpun dibebaskan dengan jaminan polis selepas Mahkamah Majistret membenarkan reman ke atasnya selama sehari kelmarin.
“Polis telah merekodkan keterangan daripada pemandu terbabit.
“Kita juga telah mengambil sampel darahnya untuk dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang bagi menjalani ujian alkohol dan dadah.
“Saman juga kita telah keluarkan ke atas ibu remaja terbabit disebabkan kecuaiannya kerana membenarkan anaknya menggunakan kenderaan tanpa lesen,” katanya.