fbpx

Jualan promosi buang harga 11.11, ‘bunuh peniaga’ offline

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tawaran buang harga oleh peniaga online beri kesan ketara kepada peniaga offline. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jualan secara besar-besaran di TikTok Shop khususnya pada Jualan 11.11 baru-baru ini dengan  pelbagai gimik, promosi dan diskaun apatah lagi ketika strim secara langsung oleh peniaga online di platform tersebut telah memberi impak ketara kepada peniaga offline sehingga mencatat kerugian hampir 90 peratus.

Seorang pengusaha butik yang mahu dikenali sebagai Ros yang menjual pelbagai barangan keperluan wanita di sebuah pusat beli-belah lebih daripada 20 tahun dekat sini, mengeluh dengan cabaran berniaga pada masa sekarang apatah lagi terpaksa bersaing dengan peniaga di TikTok Shop yang berani membuat jualan ‘buang harga’.

Kaedah menjual secara ‘buang harga’ dengan gimik jualan serendah RM2, RM5 untuk sehelai tudung yang didakwanya memiliki kualiti sama dengan tudung yang dijualnya di butik pada harga offline RM30 bakal ‘membunuh’ secara senyap perniagaan golongan bumiputera khususnya yang menyewa tapak dan bangunan dalam sesebuah premis pusat beli-belah. 

“Kita tunggu jualan promosi lagi pada 12.12 bulan hadapan, pastinya premis jualan di pusat beli-belah khususnya kami yang berniaga secara kecil-kecilan akan lengang, hanya mereka yang taksub kepada barangan offline akan datang berkunjung membeli-belah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga butik yang menjual pakaian muslimah yang mahu dikenali sebagai Seri, juga serik untuk membuat perancangan awal untuk jualan promosi bersempena hari raya tahun depan ekoran promosi ‘buang harga’ yang akan ditawarkan oleh peniaga di TikTok Shop.

“Saya tiada perancangan lagi nak jual apa untuk hari raya nanti, modal simpanan makin kurang dan saya cuma berharap kepada pelanggan setia yang datang membeli-belah di butik ini sahaja, tetapi sampai bila saya perlu bergantung harap kepada mereka.

“Peniaga di TikTok shop menggunakan pempengaruh popular dan juga artis untuk menjual produk mereka sedangkan kami adalah orang biasa yang mana strim live yang kami adakan juga tidak mendapat sambutan seperti mereka,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI