BANDAR GAZA – Pertempuran meningkat antara askar Israel dan pejuang Hamas menyebabkan beribu-ribu orang terperangkap dalam hospital di Gaza hari ini dengan petugas kesihatan dan bantuan memberi amaran bahawa pesakit berisiko mati akibat kekurangan kemudahan.
“Jika kita tidak menghentikan pertumpahan darah ini dengan gencatan senjata atau pemindahan pesakit secepat mungkin, hospital-hospital ini akan berubah menjadi bilik mayat,” kata kumpulan bantuan perubatan, Doctors Without Borders.
Hospital terbesar di Semenanjung Gaza, Hospital Al-Shifa dikepung sepenuhnya ketika pengeboman berlaku berdekatan dengan kemudahan itu.
“Pasukan perubatan tidak boleh bekerja, manakala berpuluh-puluh mayat tidak boleh diurus atau dikebumikan,” kata Pengarah hospital berkenaan, Mohammad Abu Salmiya.
Tiga bayi pramatang dilaporkan meninggal dunia di hospital tersebut akibat tidak mempunyai bekalan oksigen ketika ia tidak beroperasi di tengah-tengah pertempuran sengit, demikian menurut Kementerian Kesihatan di Gaza seperti dilaporkan saluran berita CNN.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr. Munir Al-Bursh berkata, lebih 400 pesakit dirawat di Hospital Al-Shifa manakala 20,000 orang berlindung di kompleks hospital tersebut.
“Terdapat lebih 100 jasad yang ditutup dengan selimut di atas tanah di kompleks hospital ini. Namun, kami tidak dapat mengebumikan mereka,” katanya menerusi panggilan telefon yang terputus-putus.
Jurucakap kementerian tersebut, Dr. Ashraf al-Qidra yang terperangkap di dalam hospital tersebut berkata, Hospital Al-Shifa sudah tidak dapat berfungsi selepas berulang kali menjadi sasaran tembakan askar Zionis.
“Unit rawatan rapi, jabatan pediatrik dan peralatan oksigen telah berhenti berfungsi,” katanya.
Doctors Without Borders menyatakan bahawa ambulans tidak lagi dapat bergerak untuk mengambil mangsa-mangsa yang cedera, manakala pengeboman tanpa henti askar Israel menghalang pesakit dan kakitangan daripada berpindah dari hospital berkenaan.
Akibat terputus bekalan elektrik, doktor-doktor terpaksa bekerja menggunakan cahaya lilin manakala bekalan makanan untuk kakitangan perubatan dan pesakit semakin berkurang.
Dalam pada itu, seorang pegawai kesihatan memaklumkan bahawa serangan udara askar Israel telah memusnahkan sepenuhnya wad kardiologi di hospital berkenaan ketika pertempuran sengit terus berlaku pagi ini.
“Penceroboh (Israel) memusnahkan sepenuhnya jabatan kardiologi Hospital Al-Shifa. Bangunan dua tingkat itu telah musnah sepenuhnya dalam serangan udara,” kata Timbalan Menteri Kesihatan bagi kementerian yang dikendalikan oleh Hamas kepada AFP. – AFP/AGENSI