KEMAMAN – Seekor anak lembu terjatuh ke dalam parit dipercayai tergelincir kerana tanah licin disebabkan hujan lebat sebelum diselamatkan anggota bomba di Kampung Baru Kertih di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.48 pagi itu, anggota bomba terlibat mengambil masa hampir 20 minit untuk menaikkan anak lembu berkenaan daripada parit yang sedalam 1.5 meter tersebut.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru Kertih, Abdullah Abdul Latif berkata, beliau dan beberapa penduduk kampung terlihat anak lembu tersebut mengerang kesakitan di dalam parit tersebut sebelum cuba menyelamatkannya.
“Kami cuba angkat anak lembu itu tetapi gagal kerana air parit tersebut bukan sahaja agak dalam malah beraliran deras.
“Kami akhirnya menghubungi bomba untuk meminta bantuan kerana memikirkan keselamatan diri,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairul Hasni Mokhtar berkata, operasi menyelamatkan anak lembu berkenaan melibatkan tujuh anggota bomba.
“Kami menggunakan tangga dan tali bagi membawa naik anak lembu itu dari parit berkenaan. – K! ONLINE