MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag mengakui kemenangan 1-0 ke atas Luton Town kelmarin sangat penting, namun meraih 21 mata ketika berdepan situasi 16 pemain yang cedera menyaksikan mereka yakin untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas.
Pemain pertahanan, Victor Lindelof muncul wira United apabila meledak gol tunggal perlawanan untuk membolehkan mereka meraih empat kemenangan daripada lima perlawanan sekali gus semakin menghampiri kelompok teratas.
“Selepas banyak ‘kejutan’ yang kami hadapi, kami masih berjaya untuk menghampiri kelompok empat teratas dan kami juga mula bermain dengan baik selepas berusaha membentuk pasukan ini sejak berminggu-minggu dan berbulan-bulan lalu.
“Sekarang kami sudah meraih empat kemenangan dalam lima perlawanan, kami berada di kedudukan yang agak baik jika mengambil kira masalah yang terpaksa kami hadapi. Kami perlu menang dan kami berjaya melakukannya.
“Saya fikir kami mula menjadi sangat optimis, namun tugas kami mungkin akan menjadi lebih mudah jika mampu menjaringkan gol awal sebelum mencari jaringan kedua. Saya gembira dengan kemenangan ini dan kami tidak bolos,” katanya.
Mengulas mengenai potensi kecederaan melibatkan Rasmus Hojlund dan Christian Eriksen yang terpaksa dibawa keluar, Ten Hag mengakui pasukan perubatan kelab itu sedang berusaha untuk menyiapkan laporan penuh dan statusnya masih belum dapat disahkan.
Dalam pada itu, Ten Hag juga tidak akan menyertai pasukannya pada aksi menentang Everton selepas ini apabila beliau digantung kerana sudah menerima layangan tiga kad kuning termasuk ketika menentang Luton. – AGENSI