IPOH – Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan merekodkan transaksi berjumlah RM2,675,607 sepanjang tiga hari penganjurannya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah transaksi itu dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari pada hari terakhir penganjuran sambutan itu hari ini.
“Jumlah transaksi ini membuktikan rakyat Malaysia datang berkunjung di HPPNK untuk mendapatkan barangan keperluan asas yang dijual dengan harga berpatutan selain menikmati setiap fokus dan segmen yang ditawarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan HPPNK 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu juga, HPPNK berjaya mencatatkan 452,647 pengunjung yang hadir secara fizikal manakala 36,015 orang pula secara dalam talian, menjadikan jumlah keseluruhan pengunjung seramai 488,662 orang.
Katanya, kunjungan menggalakkan itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan seramai 350,000 pengunjung.
“Saya yakin, sehingga malam nanti, kehadiran pengunjung akan melebihi 500,000 orang. Kehadiran pengunjung ini adalah bukti dan iltizam Kerajaan Perpaduan dalam menghargai segala jasa dan sumbangan para peladang, penternak dan nelayan.
“Sesungguhnya, mereka adalah wira negara yang sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin,” ujar beliau.
Tambah beliau, pengisian baharu pada HPPNK 2023 yang menarik minat dan memukau pengunjung adalah Madani Agro Light yang mempamerkan pelbagai kenderaan dan aset digunakan jabatan dan agensi di bawah KPKM yang dihias lampu dan dekorasi menarik.
Selain itu katanya, pelbagai produk jualan keperluan asas dan produk hasil pertanian melalui Jualan Agro Madani, empayar makanan, produk pertanian dan industri asas tani, buah-buahan serta florikultur juga menarik perhatian pengunjung.
“Sepanjang tiga hari ini, ada 3,000 bakul agromadani dengan lebih 9,000 kampit beras dengan harga jualan RM26 sekampit dan 270,000 biji telur serta 200 lot gerai yang benar-benar menarik pengunjung datang ke sini,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada November tahun hadapan dijangka lebih meriah.
“Lepas ini MAHA akan diadakan di lokasi biasa di Serdang. Program itu melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara. Saya yakin acara itu akan lebih meriah lagi tahun hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE