MARAN – Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa inisiatif Kerajaan Pahang telah menyalurkan sebanyak RM8.9 juta duit poket kepada 18,680 mahasiswa Universiti Awam dan Swasta tahun ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, bantuan ini bagi membantu meringankan kos sara hidup siswa.
Katanya, Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengamalkan konsep berkongsi rezeki berikutan kejayaan cemerlang mengutip hasil lebih RM1 bilion dua tahun berturut-turut sejak tahun 2022.
“Keseluruhannya sebanyak RM 42.4 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini melalui skim bantuan prihatin ini. Daripada jumlah ini sebanyak RM 14.767 juta diperuntukkan untuk membantu anak-anak Negeri Pahang pada semua peringkat Pendidikan,” katanya.
Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri Chenor berkata demikian ketika menyampaikan BPP Kluster Siswa Parlimen Maran kepada 728 orang membabitkan belanja sebanyak RM 218,400 di sini hari ini.
Beliau berkata, insentif ini bertujuan untuk membantu meringankan sedikit sebanyak beban mahasiswa anak Pahang di IPTA dan IPTS menjalani kehidupan di kampus.
Menurut beliau, khabar baik kepada mahasiswa anak Pahang apabila Menteri Besar telah bersetuju menambah BPP Kluster Pahang sebanyak RM400 tahun depan.
“Bantuan ini adalah berkat dari kestabilan politik dan juga kestabilan ekonomi serta urus tadbir yang bijak sehingga mampu memungut hasil sebanyak RM 1.018 bilion sehingga bulan lalu,” katanya.
Seorang penerima Anis Suraya Rosli, 23, dari Universiti Teknologi Mara ( UiTM) mengakui lega dengan bantuan tunai RM300 bagi menampung perbelanjaan di kampus.
“Bagi mahasiswa wang sebanyak itu sangat bernilai bagi menampung perbelanjaan membeli alat tulis, buku rujukan dan sebagainya,” kata anak peneroka Felda Jengka 4, Maran.
Seorang bapa Abdullah Ani,67, dari Felda Jengka Satu berrbangga kerana Kerajaan Pahang Berjaya menyantuni semua lapisan rakyat melalui Bantuan Prihatin Pahang ini. – KOSMO! ONLINE