KOTA BHARU – Serangan harimau belang yang menyebabkan dua lelaki warga asing maut dalam tempoh selang sehari di Meranto, Gua Musang berlaku dalam jarak sejauh 10 kilometer (km).
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, jarak tersebut dikira dari kawasan kes pertama yang melibatkan kematian seorang lelaki warga Indonesia kelmarin ke lokasi serangan harimau belang ke atas seorang lelaki Myanmar di kebun getah persendirian di Meranto semalam.
Menurutnya, selain itu, berdasarkan rekod aduan konflik hidupan liar, Perhilitan Gua Musang juga tidak menerima aduan konflik dari kebun getah persendirian di Meranto selepas kes pertama berlaku.
“Siasatan bersama keluarga lelaki itu mendapati, identiti mangsa kedua dikenal pasti sebagai Ahka Soe Ya, 25, dan bekerja sebagai penoreh getah. Mangsa juga sudah berkahwin dengan Htet Htet Moe yang juga warganegara Myanmar.
“Anggaran jarak dari bandar Gua Musang dengan ladang getah itu dianggarkan sejauh 50 km dan mengambil masa antara sejam hingga dua jam untuk tiba ke lokasi tersebut dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Hafid memberitahu, berdasarkan rekod Perhilitan, sebanyak lima kes kecederaan dan kematian melibatkan serangan harimau berlaku di Gua Musang sejak 5 Julai 2021 sehingga semalam.
Menurutnya, Perhilitan mengambil langkah proaktif dengan memasang perangkap harimau dan perangkap kamera di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi harimau berkeliaran.
“Pekerja ladang dan persendirian disarankan supaya tidak bekerja seorang diri dan sentiasa bekerja secara berkumpulan selain tidak membuat sebarang provokasi kepada
hidupan liar,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, dua lelaki warga asing maut dibaham harimau belang di kawasan ladang dan kebun getah di Meranto, Gua Musang dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Mayat seorang lelaki warga Indonesia dijumpai dalam keadaan mengerikan apabila anggota tubuh badannya tidak sempurna selepas dipercayai dibaham harimau di kawasan kebun kelmarin.
Mangsa, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemui oleh seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pos Pasik di sini.
Kes kedua, Soe Ya yang merupakan warganegara Myanmar cedera parah pada bahahian kepala akibat diserang seekor harimau belang ketika sedang menoreh getah bersama isterinya.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas menerima rawatan kecemasan dan Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat serangan harimau. – KOSMO! ONLINE