PETALING JAYA – Pelakon Meerqeen mencapai satu lagi kejayaan peribadi apabila berjaya membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda berjenama mewah jenis Mercedes-Benz model G-Class (G-Wagon) yang bernilai sekitar RM1.3 hingga RM1.4 juta seunit.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Meerqeen atau nama lengkapnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam dalam InstaStory miliknya, pelakon muda berusia 22 tahun itu mempamerkan kunci kereta tersebut selain sebuah video sedang memandu kenderaan terbaharunya itu.
“Alhamdulillah Ya Allah. Satu lagi pencapaian telah dibuat. Syukur,” tulisnya.
Dalam perkongsian berbeza yang dimuat naik Meerqeen dalam aplikasi X, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu berkongsi sekeping foto sedang bergambar dengan kereta berwarna hitam itu.
Menjengah ruangan komen, ramai pengikutnya turut tumpang gembira atas kejayaan pelakon muda itu dan mendoakan agar Meerqeen sentiasa dimurahkan rezeki atas kerja kerasnya selama ini.
“Alhamdulillah. Rezeki yang Allah SWT kurniakan atas setiap kesusahan, kesabaran, kesedihan dan pengorbanan yang dilakukan,” ujar seorang peminatnya.
“Tahniah Meerqeen. Semoga Allah SWT permudahkan setiap urusan awak dan diberikan kebaikan di dunia dan di akhirat,” kata seorang lagi pengikutnya.
Hasil semakan dalam laman web rasmi Mercedes-Benz Malaysia mendapati, harga bagi seunit kenderaan ‘super sport’ yang dikilangkan di Magna Steyr, Austria
itu bernilai antara RM1.3 juta hingga RM1.7 juta seunit.
Pada Mei lalu, Meerqeen telah membeli kereta pertamanya pada usia 22 tahun iaitu kenderaan jenis Mitsubishi Triton. – KOSMO! ONLINE