Malaysia sudah terlibat dengan sukan kabaddi sejak tahun 2001, namun entah apa silapnya makin banyak negara memintas Malaysia dari segi perkembangan sukan itu.
Berkongsi tentang perkembangan sukan kabaddi dalam negara, bekas atlet kebangsaan, Jegankumar Bataraman, 32, memberitahu, Malaysia terlibat dengan sukan itu sejak tahun 2001 bermula sebagai satu pasukan kecil, terdiri daripada pemain berpengalaman dan baharu.
“Malaysia antara negara selain India di Asia yang terawal membentuk pasukan kabaddi. Sejak tahun 2001, kita sudah ada pasukan kabaddi kebangsaan yang sehingga kini sudah melahirkan ramai atlet berpengalaman dan pernah mendapat latihan di India.
“Pada peringkat awal, kita menunjukkan potensi positif dalam mengembangkan sukan ini hingga menjadi ikutan negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan yang turut menubuhkan pasukan mereka sendiri,” kata pemuda asal Port Dickson, Negeri Sembilan itu.
Pun begitu katanya, perkembangan sukan itu tidaklah pesat seperti sukan lain, malah ia tenggelam timbul sekadar memenuhi penyertaan pertandingan. Pada Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini, misalnya, Taiwan meraih pingat gangsa bagi kategori lelaki kabaddi bersama Pakistan, manakala Iran perak dan emas milik India.
Ulasnya, hal ini jelas apabila bukan saja negara yang mengikuti Malaysia sudah jauh memintas kejayaan di peringkat antarabangsa tetapi juga nasib atlet tempatan umpama tiada tempat bergantung.
“Kita ada ramai pemain kabaddi yang berpengalaman, tetapi mereka terpaksa menolak untuk menyertai pasukan negara kerana tiada jaminan buat mereka terutama dari segi masa depan (karier) dan juga pendapatan.
“Tambahan pula, dari segi pembangunan sukan, kabaddi tidak mendapat perhatian sewajarnya meski kita sentiasa menghantar wakil ke peringkat antarabangsa,” luahnya.
Katanya lagi, biarpun di peringkat akar umbi ada usaha membangunkan sukan kabaddi, beberapa permasalahan di bahagian pengurusan pusat menjadi sebab prestasi sukan ini kian mundur.
Hal ini amat merugikan dari segi pembangunan sukan negara yang mana dengan kepakaran dan bakat tempatan yang ada, kabaddi mampu mengharumkan nama negara di peringkat dunia.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kabaddi Putrajaya, Arasu Shanmugam, masalah utama yang berlaku dalam sukan kabaddi adalah tiada pelan jangka panjang bagi pembangunan sukan berkenaan.
“Kita sudah ada asas tetapi tidak dikembangkan hingga ada pemain terpaksa putus asa kerana tiada kesinambungan penglibatan mereka dalam sukan kabaddi,:”katanya.
Jelasnya lagi, pada masa sama perlu ada pelan pembangunan yang efektif dalam mengangkat sukan ini dan menjadikannya sebagai sukan yang boleh memberi peluang buat rakyat Malaysia berbilang kaum untuk mengharumkan nama negara.
Artikel ini merupakan artikel rencana, untuk membaca penuh sila baca di https://www.kosmo.com.my/2023/10/11/ketangkasan-sentuh-tangkap-aksi-kabaddi/