fbpx

Anwar gesa OIC desak gencatan senjata di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar gambar pertemuan antara Anwar dan Ebrahim Raisi yang dimuat naik di laman Facebooknya, pagi tadi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar terus mendesak gencatan senjata oleh Zionis Israel dan lebih banyak bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Palestin.

Menurut sebuah hantaran di laman Facebook, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Islam Iran, Seyyed Ebrahim Raisi, di sela-sela Sidang Kemuncak Tergempar OIC ke-8 bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan terhadap Palestin, semalam.

“Dalam pertemuan yang penuh bermakna ini, kami sebulat suara bersetuju agar kekejaman oleh Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.

“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa oleh OIC termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta,” katanya.

Tambah Anwar, beliau turut menyuarakan supaya OIC memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam melibatkan isu kemanusiaan sejagat.

“Semasa pertemuan ini, kedua-dua pihak telah menyatakan kesediaan untuk mempertingkatkan hubungan dua hala termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.

“Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua buah negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan yang besar dalam dunia Islam,” ujarnya.

Menurut Anwar, dalam pertemuan sama, pihaknya turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.

“Saya juga mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) di antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama,” katanya.

Pada tahun 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran ialah sebanyak RM3.68 bilion (meningkat sebanyak 40.2% dari tahun 2021) dan kelapa sawit merupakan produk utama perdagangan antara kedua-dua negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI