PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda 11 negeri pagi ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya hari ini berkata, beberapa tempat di Terengganu, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka mengalami cuaca buruk.
Ujarnya, beberapa kawasan pantai di Kedah turut diramal cuaca yang sama.
“Di Sabah kawasan yang dijangka hujan lebat dan ribut petir adalah di Pedalaman, Sandakan, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Manakala di Sarawak cuaca buruk yang sama melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Miri,” katanya.
Tambahnya, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Johor tiada hujan dan ribut petir dijangka berlaku.
Jelasnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam. – KOSMO! ONLINE