fbpx

Pasangan maut kemalangan bakal tunang Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah pemuda yang maut dalam kemalangan di KM1.9 Jambatan Pulau Pinang dibawa pulang ke Ipoh selepas selesai bedah siasat, mandi dan kafan di Hospital Seberang Jaya, petang tadi. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Pasangan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 1.9 Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, awal pagi tadi dikatakan bakal melangsungkan pertunangan pada Disember nanti.

Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggang pemuda berusia 20-an iaitu jenis Yamaha NVX terlibat kemalangan dipercayai dengan sebuah kereta.

Salah seorang ahli keluarga mangsa wanita yang enggan diketahui namanya berkata, pasangan terbabit bakal bertunang pada 17 Disember nanti.

“Arwah (mangsa wanita) bekerja di sebuah kedai telekomunikasi dan jenazahnya akan dibawa pulang ke Kampung Sungai Siput di Kuala Kangsar, Perak.

“Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas solat Asar, hari ini,” katanya ringkas ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, petang tadi.

Jenazah wanita dibawa dengan menaiki van selepas selesai urusan bedah siasat, mandi dan kafan di HSJ kira-kira pukul 2 petang tadi.

Sementara itu, kakak kepada mangsa lelaki, Imanina Nasua, 23, pula berkata, jenazah adiknya akan dibawa pulang ke Ipoh selepas semua urusan selesai dijalankan di hospital terbabit.

“Saya dapat tahu mengenai berita kematian adik daripada suami, ketika berada di tempat kerja. Memang tak tahu nak cakap apa.

“Arwah seorang adik yang sangat baik, periang, tak sombong dan tak pernah melawan. Bakal tunangnya juga baik dan lembut.

“Saya ada tanya sama ada dia (Nabil) sudah membeli barang untuk majlis tunang atau belum dan dia cakap nanti dulu…tengoklah macam mana. Dia juga cakap tidak tahu macam mana selepas itu (selepas selesai majlis tunang).

“Saya tidak tahu yang itu tandanya dia mahu tinggalkan kami dan saya tak sedar apa yang dia cakap itu jadi kenyataan,” katanya dalam nada sebak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI