fbpx

[VIDEO] Lebih 5,000 rakyat Malaysia berpusu-pusu masuk Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RATUSAN pelancong berbaris panjang menantikan pintu menuju pemeriksaan imigresen dan kastam dibuka di stesen KTMB Padang Besar, hari ini.

PADANG BESAR – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar hari ini sesak dengan ribuan pelancong termasuk yang menaiki ratusan bas untuk ke Hatyai, Thailand.

Tinjauan Kosmo! di ICQS Padang Besar mendapati, deretan kira-kira 20 bas sedang beratur dari lokasi dokumentasi pas perjalanan dan pasport dalam kompleks itu sehingga ke jalan utama di pekan Padang Besar sejauh lebih satu kilometer.

Menurut sumber imigresen, dianggarkan sebanyak 100 bas sarat dengan pelancong domestik melintas keluar ke Thailand sejak pintu sempadan dibuka pagi ini.

“Saya anggarkan lebih 5,000 pengembara dari negara ini melintasi sempadan Padang Besar sehingga pukul 12 tengah hari ini berdasarkan jumlah bas yang melintasi laluan antarabangsa ini.

“Jumlah itu juga termasuk mereka yang melintas sempadan menggunakan perkhidmatan tren selain menggunakan kenderaan persendirian seperti kereta dan konvoi motosikal,” katanya ketika ditemui di Kompleks ICQS Padang Besar di sini hari ini.

SUASANA di Kompleks ICQS Padang Besar sesak dengan penumpang yang menaiki bas ke Hatyai, Thailand pada pagi tadi.

Pemandu pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Siti dari Negeri Sembilan berkata, dia sendiri menguruskan pelancong ke Thailand membabitkan tiga bas.

“Setiap bas mampu memuatkan seramai 40 orang pelancong dan mereka mengambil pakej bercuti panjang di Thailand sempena cuti Deepavali ini.

“Sebab utama mereka memilih Hatyai kerana faktor harga makanan ditawarkan rendah selain rasanya yang lazat. Rata-rata mereka pertama kali keluar negara bersama saya,” jelasnya.

Tambahnya, syarikat pelancongannya menawarkan pakej empat hari tiga malam melawat beberapa lokasi menarik di Hatyai pada harga antara RM300 hingga RM400 seorang termasuk insurans, tambang, hotel dan lain-lain.

Dalam pada itu, di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), pada sebelah pagi sahaja dianggarkan lebih 500 penumpang dari Malaysia melintas sempadan Thailand menuju ke Stesen Kereta Api Hatyai.

Seorang kakitangan KTMB memaklumkan, kereta api khas ekspres Sawadee yang membawa hampir 400 penumpang berlepas ke Thailand pada pukul 9.20 pagi dan satu lagi trip tren ulang-alik State Railways of Thailand dengan kira-kira 200 penumpang berlepas dari Padang Besar sekitar pukul 11 pagi.

Penumpang, Mohd. Adil Rafli Abd Rahim, 27, dari Ipoh, Perak, dia memilih ke Hatyai bersama lima lagi rakan kerana harga makanan serta penginapan berpatutan selain ingin merasai suasana bercuti di luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI