BAGAN SERAI – Anak padi yang baru ditanam di sawah seluas 125 hektar di tujuh lokasi di sini rosak selepas ditenggelami banjir sejak empat hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, tujuh lokasi melibatkan 75 pesawah ialah Parit Hitam 3, Parit Mat Keling, Parit 1 Padang Lalang, Parit 2 Padang Lalang, Parit 3 Alor Setanggok, Parit 4 Alor Setanggok dan Sungai Kepar.
Katanya, padi yang berumur 15 hingga 50 hari itu ditenggelami air disebabkan hujan lebat berterusan sejak 15 November lalu selain pelepasan air lebihan kolam Bukit Merah.
“Selain itu, paras air sungai yang tinggi juga menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan.
“Jabatan Pertanian sedang melakukan bancian awal pada setiap lot sawah yang terlibat bagi penyediaan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Yunus, selepas bancian dibuat, pihaknya akan menghantar laporan dan permohonan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Katanya lagi, pihak terlibat seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) telah menyediakan pam-pam air bergerak bagi mengurangkan kesan banjir di sawah berkenaan.
“Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan lain pula akan terus memantau keadaan semasa di kawasan penanaman padi berikutan ramalan hujan yang dijangka berterusan minggu ini.
“Jika terdapat kawasan tanaman padi lain yang terjejas akibat banjir, pesawah diminta membuat laporan segera kepada Jabatan Pertanian atau agensi berkaitan untuk tindakan susulan,” katanya. – K! ONLINE