KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki dalam dewan lelaki negara untuk beraksi pada penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Nazrin Shah tidak kesampaian.
Ia susulan kekalahan 1-7 kepada Afrika Selatan pada aksi terakhir liga sepusingan kejohanan hoki dalam dewan antarabangsa itu di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak hari ini.
Penjaring terbanyak kejohanan, Steven Paulo membuktikan ketajamannya apabila meledak hatrik buat pasukan ranking ketujuh dunia itu menerusi tiga jaringannya pada minit ketiga, m-8 dan 40.
Empat lagi gol Afrika Selatan diperoleh menerusi Luke Lange pada minit ke-10, Justin Domleo (m-23), Lungani Gabela (m-24) dan Kyle Esau (m-32).
Skuad negara yang berada di ranking ke-15 dunia, pula sekadar meraih jaringan sagu hati melalui Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-37.
Kekalahan tersebut menyebabkan skuad bimbingan Mohd. Hanip Che Halim itu terpaksa akur menamatkan kejohanan di tangga kelima, hanya dibezakan enam perbezaan gol dengan pasukan di tangga keempat, New Zealand.
Final esok menyaksikan pertembungan antara Namibia dan Afrika Selatan, manakala Australia akan berentap dengan seteru tradisi, New Zealand untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.
Nasib berbeza dialami skuad hoki dalam dewan wanita negara yang akan meneruskan perjuangan mereka menentang Australia untuk penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Tuanku Zara esok. – KOSMO! ONLINE