PETALING JAYA – Perayaan Deepavali adalah salah satu jalan dalam membangun Malaysia yang madani, hormat menghormati selain memelihara kerukunan antara kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, kejamakan budaya di negara ini mesti terus dipertahan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
“Sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat ini mesti dipatahkan dengan sikap berserta nilai dan budi pekerti yang tinggi.
“Kerajaan Perpaduan akan memastikan pembangunan sosioekonomi semua rakyat, pengagihan kekayaan yang lebih saksama dan bantuan kepada yang memerlukan disampaikan dengan lebih tuntas dan cekap,” katanya dalam kenyataan sempena perayaan Hari Deepavali.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan berusaha bagi memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat, Hindu terutamanya terus ditambah baik dan dilindungi.
Katanya, nikmat dan khazanah negara mesti dirasai semua secara adil dan saksama.
Sementara itu, beliau berkata, Deepavali yang diraikan sebagai ‘pesta cahaya’ adalah simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan dan keangkuhan.
Anwar turut memetik ungkapan dalam Thirukural yang bermaksud, kebahagiaan yang berpunca daripada etika atau tatakelola yang baik merupakan nikmat sebenar, dan kegembiraan berpunca daripada sikap tidak beretika adalah penderitaan atau tidak membawa kebahagiaan yang mampan.
“Saya ucapkan ‘Deepavali Nal Valthukal’ (Selamat Hari Deepavali) kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.