PETALING JAYA – Suasana di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan ibarat seperti ada penganjuran larian maraton apabila orang ramai berpusu-pusu masuk ke pintu sempadan Thailand.
Berdasarkan beberapa gambar dimuat naik pada Facebook Rantau Panjang Post, kelihatan orang ramai berlari maraton ke pintu sempadan selain ada yang beratur panjang termasuk kenderaan yang menunggu giliran.
Mereka bersesak-sesak di ICQS Rantau Panjang untuk bercuti ke Thailand sekali gus mengambil kesempatan cuti hujung minggu serta cuti umum perayaan Deepavali pada Ahad ini.
Dalam pada itu, orang ramai memberikan pelbagai maklum balas selain ada yang berpendapat bercuti di Thailand lebih murah berbanding di negara sendiri.
“Tempat kita makan mahal, hotel mahal. Sebab tu orang lebih memilih bercuti ke Thailad,” komen Faizul Bin Hassanuddin.
“Juta juta ringgit Malaysia mengalir keluar waktu cuti Deepavali. Selamat memakmurkan ekonomi warga Thailand sekalian warga Malaysia. ‘Sharing is caring, Langkawi is watching’,” kata Alley Mitt Anderson berjenaka.
“Walaupun duit mahal sikit, tapi berbaloi makan murah sedap,” ujar Hisham Jnadal.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, kehadiran pelancong ke Langkawi yang semakin merosot sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan industri kedai makan dan kereta sewa di pulau itu mengalami kerugian banyak didorong oleh tindakan orang ramai yang lebih memilih Hatyai, Thailand sebagai destinasi percutian.
Malah, faktor harga makanan dan penginapan yang lebih murah di selatan Thailand turut menarik minat pelancong antarabangsa untuk memilih lokasi itu berbanding Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir dipetik berkata, banyak sebenarnya tarikan ditawarkan di negara jiran itu termasuk perjalanan ke sana yang jauh lebih mudah. – KOSMO! ONLINE.