BESUT – Kejayaan mengesan mayat mangsa terakhir runtuhan tapak pembinaan sebuah resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut hari ini banyak disumbang oleh bantuan anjing pengesan Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dua ekor anjing iaitu Lady dan Grouse sebelum ini pernah terlibat dalam operasi berskala besar di tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor dan insiden kepala air Jeram Mawar, Kemaman masing-masing pada hujung tahun lalu dan Julai lalu.
Penyelia Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Hambali Wahab berkata, Lady dan Grouse mempunyai kepakaran menjejak mangsa sama ada masih bernyawa atau sebaliknya.
“Kedua-dua ekor anjing pengesan ini sekali lagi menunjukkan prestasi cemerlang.
“Lady berjaya menemui lokasi mangsa terakhir tertimbus dengan isyarat menyalak yang memberi petunjuk penting terhadap pasukan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Bantuan Lady dan Grouse membolehkan pasukan SAR berjaya menemui mangsa terakhir dikenali sebagai Suparno, 48, dalam timbunan runtuhan sebelum dibawa keluar pada pukul 3.15 petang.
Kosmo! hari ini melaporkan tapak pembinaan restoran sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi semalam.
Runtuhan itu menimbus tujuh buruh binaan iaitu enam warga asing dan seorang tempatan yang ketika itu sedang tidur nyenyak di tapak pembinaan yang hampir siap berkenaan.
Empat berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan SAR pada pukul 12.50 tengah hari semalam. – KOSMO! ONLINE