ALOR GAJAH – Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) tidak sempat meraikan majlis konvokesyennya apabila maut dalam kemalangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Terminal Kenderaat Berat di sini, semalam.
Mangsa, Marfuza Arnida Marrudzuki, 23, yang merupakan graduan Pengajian Sains Kesihatan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 malam tadi selepas lapan jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.
Dalam satu hantaran ucapan takziah dibuat Majlis Perwakilan Pelajar USM Kubang Kerian, Kelantan, mangsa sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen di kampus tersebut pada 25 November ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di sebuah restoran makan segera di Ayer Keroh.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa melanggar bahagian belakang Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun di persimpangan lampu isyarat.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami pendarahan di perut dan dikejarkan ke Hospital Melaka. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia pukul 7.30 malam tadi ketika menerima rawatan,” katanya.
Ujian air kencing mendapati pemandu Myvi positif ganja. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE.