BESUT – Mayat mangsa terakhir yang tertimbus dalam runtuhan tapak pembinaan resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut dekat sini ditemui sebentar tadi.
Buruh binaan warga Indonesia dikenali sebagai Suparno itu berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mayat mangsa ditemui anggota SAR di dalam sisa runtuhan pada pukul 2.08 petang.
“Usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa agak sukar dan mengambil masa lebih sejam.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jeti Kuala Besut di sini dengan bot ambulans sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pulau Perhentian dekat sini hari ini.
Mazli berkata, penemuan mayat Suparno melengkapkan operasi SAR melibatkan tujuh buruh binaan yang tertimbus dalam runtuhan bangunan setinggi tiga tingkat berkenaan kelmarin.
Sehubungan itu, pusat kawalan operasi SAR berkenaan yang dibuka pada pukul 10.15 pagi kelmarin ditutup sepenuhnya.
Kosmo! hari ini melaporkan tapak pembinaan restoran sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi semalam.- KOSMO! ONLINE