PUTRAJAYA – Seorang eksekutif wanita direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM45,000 sebagai balasan membuat pertukaran ejen pengambilan pekerja asing warga Bangladesh melalui sistem komputer.
Menurut sumber, suspek berusia 20-an itu dipercayai ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas diminta hadir bagi memberi keterangan kira-kira pukul 5 petang, semalam.
“Suspek bekerja dengan sebuah syarikat yang membekalkan sistem pengurusan pekerja asing dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak Jun hingga Oktober lepas,” kata sumber, hari ini.
Susulan penahanan tersebut, SPRM membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Jelas sumber, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 16 November.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE