JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menyalurkan sejumlah RM7.9 juta kepada pelbagai pihak termasuk asnaf yang terjejas susulan penularan pandemik Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, penerimanya terdiri daripada 32,000 individu yang menyaksikan peningkatan sekitar 10 peratus berbanding tahun terdahulu.
Katanya, antara pecahan penerima itu termasuklah bantuan yang diberi kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19 di negeri ini.
“Sejak 18 Mac lalu, sejumlah RM684,000 telah disumbangkan kepada seramai 600 penerima, bantuan ini termasuk RM1,000 untuk pesakit atau waris pesakit yang meninggal dunia.
“Turut disampaikan bantuan berjumlah RM3.6 juta kepada keluarga yang terputus bekalan makanan atau kehilangan sumber pendapatan, termasuk mereka yang menjalani proses kuarantin,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Noh Gadut dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Datuk Md. Rofiki Samsudin.
Menurut Tosrin, menyedari kesan pandemik Covid-19 kepada pelbagai pihak, MAINJ turut mengambil beberapa inisiatif bagi membantu pihak-pihak memerlukan.
“Ini termasuklah pemberian bantuan berjumlah RM178,000 kepada 858 pelajar di tiga negara Timur Tengah iaitu Mesir, Jordan dan Morocco melibatkan pembiayaan sebahagian kos pengajian dan sumbangan tunai.
“MAINJ turut memberikan sumbangan RM600,000 kepada semua hospital di negeri ini, RM25,000 melibatkan bantuan pengurusan jenazah, RM25,000 bagi pembelian keperluan keranda dan kafan serta RM500 kepada pemandi jenazah dan penggali kubur pesakit Covid-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tosrin turut memberitahu sumbangan turut diberikan kepada pelbagai penerima lain termasuklah orang kurang upaya, golongan mualaf, peniaga kecil, masyarakat Orang Asli serta pelajar tahfiz. – K! ONLINE