fbpx

692,000 kenderaan dijangka guna Lebuh Raya Karak sepanjang Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Sebanyak 692,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK) sempena cuti Deepavali meningkat 73 peratus berbanding purata trafik hari biasa.

Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula dijangka mencatatkan 284,000 buah kenderaan meningkat 58 peratus berbanding kebiasaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, pihaknya mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bermula dari 10 hingga 13 November ini bagi membantu pengguna merancang perjalanan semasa cuti perayaan Deepavali.

“Cuti perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu pastinya dimanfaatkan orang ramai untuk bercuti bersama keluarga dan rakan taulan untuk tempoh lebih lama.

“Oleh itu, saya menggalakkan orang ramai yang menggunakan lebuh raya menghala ke Pantai Timur menjadikan TTA sebagai panduan, agar perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ANIH Berhad turut membuat persediaan menghadapi musim perayaan dengan menambah bilangan kakitangan sokongan lebih 60 peratus, terdiri daripada petugas di plaza tol, LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) sepanjang tempoh tersebut.

“Selain itu, seramai 150 anggota Rela akan ditempatkan di kawasan-kawasan strategik di seluruh lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik pada waktu tersebut,” katanya.

ANIH Berhad menasihatkan pengguna supaya menyentuh kad Touch ‘n Go pada alat pengesan di lorong tol plaza dan memastikan baki semua mod pilihan pembayaran mencukupi bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

Hari ini kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma sempena perayaan Deepavali kepada smeua jenis kenderaan berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam ini hingga pukul 11.59 malam, 12 November. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI