KUALA PILAH – Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya di kaki lima sebuah restoran makanan segera di pekan Gemencheh, Tampin pada Selasa lalu.
Tertuduh, Ismail Ibrahim, 46, yang merupakan peneroka Felda membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mahkamah menegaskan tertuduh yang pernah dihukum atas kesalahan sama masih tidak insaf dan mengulangi kesalahan dengan mencederakan pasangan sendiri.
“Mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam dan tindakan tertuduh mencederakan isteri amat keterlaluan dan tidak sewajarnya berlaku,” katanya.
Lelaki itu didakwa mencederakan isterinya yang berusia 47 tahun pada pukul 9.10 malam, 7 November lalu di kaki lima sebuah restoran makanan segera Pekan Gemencheh.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian, isteri tertuduh yang juga seorang guru sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung di Terengganu didatangi suaminya dan berlaku pertengkaran antara mereka.
Semasa bertengkar, tertuduh mencekik leher, menghantuk kepala isterinya beberapa kali ke dinding dan menumbuk mata kanan wanita itu.
Kejadian disaksikan saksi awam, pekerja makanan segera dan isteri baharu tertuduh yang turut merakam kejadian tersebut.
Pemeriksaan di Klinik Kesihatan Gemencheh mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dan menerima dua jahitan pada dahi kanan.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan kerana menjaga empat anak selain mempunyai penyakit jantung, darah tinggi serta kencing manis.- KOSMO! ONLINE