fbpx

Pengusaha kebun dikesan buang sisa sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Syahbuddin menunjukkan timbunan sisa sayuran yang dibuang oleh pekebun sayur di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.

GUA MUSANG – Tindakan pengusaha kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing di sini yang dipercayai bertindak membuang sisa sayur ke dalam sungai memberi kesan kepada kehidupan Orang Asli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, selain mencemarkan air sungai, sisa sayur itu juga berbau busuk sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada penduduk Orang Asli yang tinggal di kampung berhampiran.

Katanya, masih terdapat pengusaha sayur berdegil dan tidak menghiraukan teguran pihak berkuasa dan masyarakat Orang Asli tempatan.

“Kita melihat keadaan menjadi lebih teruk sejak kebelakangan ini hingga berlaku timbunan sisa sayur yang dibuang mencemarkan Sungai Belatop.

“Saya mendapat banyak aduan daripada penduduk Orang Asli mengenai keadaan itu di kawasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Syahbuddin berkata, meskipun air Sungai Belatop bukan lagi menjadi keperluan harian bagi penduduk kaum itu, namun kebersihan sungai harus dijaga.

Katanya, sungai bukan tempat sesuai untuk membuang sisa sayuran.

“Pengusaha kebun sayuran harus bersikap lebih bertanggungjawab dan menjaga alam sekitar.

“Kita berharap Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran menyiasat perkara itu supaya masalah itu tidak berterusan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Jaafar Harun, 47, berkata, penduduk Orang Asli percaya Sungai Belatop mengalami pencemaran yang agak teruk kerana mereka sukar untuk menangkap ikan di sungai ketika ini.

Katanya, sungai Belatop menjadi lubuk rezeki bagi penduduk untuk menangkap ikan seperti kelah sejak lebih 30 tahun lalu.

“Ketika ini, penduduk tidak lagi menggunakan air sungai itu sebagai keperluan harian termasuk mandi dan membasuh pakaian kerana kualiti air yang kotor,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI