BESUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki seorang mangsa runtuhan sebuah resort di Pulau Perhentian, Kuala Besut dekat sini terpaksa dihentikan sementara sebentar tadi ekoran hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Mohammad berkata, keputusan menangguhkan sementara operasi tersebut demi keselamatan 83 anggota SAR terlibat.
“Hujan renyai-renyai mula turun malam tadi dan semakin lebat pada pagi ini dan ia memberi risiko keselamatan jika operasi SAR diteruskan.
“Kita akan menyambung semula pencarian mangsa terakhir selepas hujan reda nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di Pulau Perhentian dekat sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan tapak pembinaan restoran setinggi tiga tingkat sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi semalam.
Runtuhan itu menimbus tujuh buruh binaan iaitu enam warga asing dan seorang tempatan yang ketika itu sedang tidur nyenyak di tapak pembinaan yang hampir siap berkenaan.
Empat berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan SAR pada pukul 12.50 tengah hari semalam.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Suparno yang dikhuatiri turut tertimbus masih belum dijumpai. – KOSMO! ONLINE