fbpx

Bukan jadi ‘scammer’ tapi diculik jadi tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh mangsa yang diselamatkan dari Myanmar tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh AMREE AHMAD/KOSMO!

SEPANG – Kumpulan sindiket jenayah pemerdagangan manusia di Myanmar kini telah pun mengubah modus operandi dengan tidak lagi menawarkan janji pekerjaan lumayan tertentu.

Sebaliknya kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mangsa itu memang diculik untuk dijadikan tebusan.

“Ada keluarga mangsa sudah bayar puluhan ribu ringgit, tetapi masih terkandas di premis sindiket di negara itu lebih setahun tanpa dibebaskan,” katanya kepada pemberita ketika menyambut kepulangan tujuh mangsa di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok, Thailand, hari ini.

Baki seorang lagi mangsa dijangka pulang ke tanah air esok ekoran perlu menyelesaikan beberapa proses perundangan dengan dibantu Kedutaan Besar Malaysia di negara tersebut.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, semua mangsa itu dibawa ke Myanmar hampir sebulan lalu dan tidak ditawarkan apa-apa jenis pekerjaan sebagai ejen panggilan palsu.

“Mereka diculik dan apabila tiba di kawasan sindiket, mangsa langsung tidak dilatih pun jadi ‘scammer’ namun dipaksa menelefon keluarga untuk minta wang tebusan,” katanya.

Sebahagian besar keluarga mangsa itu ujar beliau, sudah membayar kepada sindiket itu tetapi kemudian kecewa ditipu kerana anak mereka tidak dilepas sebagaimana dijanjikan.

Modus operandi baharu itu terbongkar apabila ramai keluarga mangsa akhirnya memohon bantuan MHO dan dimaklumkan tiada kos untuk pembebasan sedemikian.

Hishamuddin berkata, mereka mendedahkan ada juga seorang individu tempatan yang mendakwa kononnya boleh menyelamatkan mangsa tetapi dikenakan bayaran pula.

“Padahal apa yang berlaku, mereka kemudiannya menyedari ditipu kerana sebenarnya tiada caj perlu dibayar kepada askar Thailand dan upah sebagainya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI