JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah melengkapkan kertas siasatan berhubung peniaga makanan laut yang didakwa mengenakan caj bayaran mahal kepada pelanggan, bulan lalu.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya telah menyerahkan dua kertas siasatan berhubung kejadian itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri, minggu lalu.
Menurut beliau, dua kesalahan yang disyaki dilakukan adalah melibatkan tidak meletakkan tanda harga dan berkemungkinan berlaku unsur pencatutan iaitu menjual pada harga tidak munasabah.
“KPDN Johor telah melengkapkan kertas siasatan berhubung perkara itu, dimana siasatan dibuat sebelum ini merangkumi tiga aspek iaitu harga makanan mengelirukan, tidak meletakkan tanda harga dan unsur pencatutan.
“Namun kita telah tolak aspek harga makanan mengelirukan, sebaliknya dua aspek lagi iaitu tidak meletakkan tanda harga dan unsur pencatutan, kita dapati ada kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 Peringkat Negeri Johor di pasar raya Smart Pandan, di sini hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, tindakan berhubung kes tersebut kini di peringkat pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang seterusnya akan membuat keputusan apakah hukuman bersesuaian boleh dikenakan.
“Timbalan Pendakwa Raya akan menentukan sama ada pihak peniaga dalam kes tersebut akan dikenakan kompaun atau dibawa ke mahkamah,” ujarnya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Bulan lalu, isteri kepada penyanyi Mawi, Ekin Rahmat meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan mendakwa harga yang dikenakan sebuah kedai makanan laut di Medan Selera Tepian Tebrau, di sini terlampau mahal iaitu berjumlah RM1,260.
Namun begitu, pemilik premis tersebut dalam satu video balas memberi penjelasan berhubung harga dikenakan dan memaklumkan harga itu adalah untuk hidangan dipesan seramai 20 orang.
Dia turut memperincikan setiap butiran hidangan yang dipesan Ekin sebagai justifikasi terhadap harga berkenaan. – KOSMO! ONLINE