JAKARTA – Beberapa petugas penggalian kubur di Klaten, wilayah Jawa Tengah terkejut apabila menemui jenazah bekas anggota pasukan separa tentera, Barisan Ansor Serbaguna (Banser) dalam keadaan baik dengan kain kafan yang sebahagiannya bersih meskipun dikebumikan 15 tahun lalu.
Laman berita iNews hari ini melaporkan, kejadian itu berlaku ketika kerja-kerja penggalian kubur dilakukan di Kampung Brangkal untuk memindahkan sejumlah jenazah ke sebuah lokasi baharu.
Ketua Pasukan Pemindahan Kubur Kampung Brangkal, Muh Fauzan berkata, ketika menggali kubur si mati bernama Indrat pada Rabu minggu lalu, mereka mendapati jenazahnya berada dalam keadaan baik dengan kain kafan kelihatan bersih.
Pihaknya bagaimanapun tidak membuka kain kafan tersebut selepas mempertimbangkan mengenai beberapa perkara.
“Sejurus selesai mengangkat (jenazah), kami terus membalut semula jenazah yang dikebumikan selama 15 tahun itu dengan kain kafan baharu untuk dipindahkan ke lokasi yang ditetapkan,” katanya.
Tambah Fauzan, sebanyak 272 jenazah dipindahkan dalam kerja-kerja tersebut di mana 72 daripadanya tidak mempunyai nama selain waris tidak dapat dikenal pasti. – AGENSI