KUCHING – Seramai kira-kira 50 orang lagi rakyat Sarawak dipercayai masih terkandas di Myanmar, setelah menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata setakat September lalu, pihaknya menerima laporan bahawa seramai 30 orang sudah berjaya dibawa pulang.
“Berdasarkan rekod Bahagian D3 (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, terdapat seramai 81 orang yang terkandas di Myanmar tetapi sebahagiannya sudah pun berjaya dibawa pulang,” katanya selepas merasmikan Astaka dan Dewan Terbuka, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
Mohd Azman menambah, setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 52 laporan berkaitan kes berkenaan yang melibatkan anak-anak Sarawak.
“Kesemua mangsa terkandas akibat terpedaya dengan janji manis sindiket, yang menawarkan pekerjaan di pusat kasino dan hotel dengan gaji lumayan dalam mata wang USD.
“Apabila sampai di sana, benda itu tidak berlaku seperti dijanjikan manakala semua laporan yang diterima telah dirujuk kepada Bahagian D3 (Atipsom) JSJ Bukit Aman untuk tindakan susulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE