LAWAS – Lelaki warga emas hilang yang hilang dihanyutkan arus banjir kilat di Jalan Sungai Sepakoi, di sini ditemui meninggal dunia.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa berusia 63 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 7 pagi tadi pada jarak tiga kilometer dari lokasinya hanyut.
“Mayat mangsa dijumpai oleh pekerja sebuah syarikat yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan jalan raya di perantara Kuala Sg. Sepakoi dan Sg. Long Tengoa di kawasan tebing berbatu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas yang tiba di lokasi kejadian menutup mayat mangsa dengan plastik hitam sementara menunggu ketibaan pihak polis.
Katanya mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 10.10 pagi untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang dikhuatiri dihanyutkan arus banjir kilat kira-kira pukul 11.30 malam tadi, ketika cuba memeriksa paras air yang menenggelamkan jalan yang menghubungkan Lawas ke Long Sukang itu.
Bagaimanapun, pencarian awal dilakukan oleh penduduk gagal menjumpai mangsa.
Namun, pasukan dari BBP Lawas tidak dapat digerakkan ke lokasi kejadian pada malam tadi, yang terletak pada jarak 50 kilometer atas faktor keselamatan kerana anggota terpaksa melalui jalan balak dengan permukaan jalan yang licin dalam keadaan gelap serta hujan renyai.
Justeru, katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan kira-kira pukul 6.54 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE