fbpx

Sistem Unit Pengambilan TVET terima lebih 1,000 permohonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 permohonan telah diterima oleh sistem Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak mula dilaksanakan pada 31 Oktober lalu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ia merupakan ujian rintis bagi tujuan pengambilan pelajar bagi sesi Januari 2024 yang melibatkan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), GiatMARA dan German-Malaysian Institute (GMI).

“Penggunaan sistem ini melibatkan tawaran sebanyak 645 kursus mencakupi pelbagai bidang di peringkat sijil hingga diploma melalui 268 buah institusi TVET yang terlibat.

“Sehingga 8 November 2023, seramai 2,398 pemohon telah mendaftarkan dalam sistem ini dan 1,047 pemohon telah melengkapkan permohonan bagi tujuan proses pertimbangan dan penawaran. Ujian rintis ini akan dibuka sehingga 30 November 2023,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata dmikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang ingin tahu mengenai pelaksanaan Unit Pusat Universiti (UPU) TVET seperti dikaji oleh Kementerian Pendidikan.

Sebelum ini, permohonan kemasukan ke program TVET bagi ambilan perdana khusus untuk lepasan SPM dan setaraf disediakan melalui platform UPUOnline di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis TVET Negara pada 27 Jun 2023 telah bersetuju dengan cadangan pembangunan sistem baharu iaitu Unit Pengambilan TVET yang akan digunakan untuk permohonan kemasukan ke program TVET.

Unit Pengambilan TVET sedang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia sebagai salah satu skop di bawah Projek Menaiktaraf Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) ke arah pembangunan data raya TVET yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.

Unit pengambilan ini akan digunakan oleh institusi-institusi TVET merentasi pelbagai kementerian untuk tujuan permohonan kemasukan ke program TVET jangka panjang dan pendek yang dibuka sepanjang tahun. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI